Wednesday, April 16, 2008

Travelog Ranau: Dari Hujung ke Puncak


Edisi Anwarul Islam
Jika tidak kerana Anwarul Islam , tidak akan ada travelog ini. Ranau adalah sebuah daerah yang betul-betul terletak di pergunungan Kinabalu.Lebih terkenal dengan masyarakat Dusun.Berbumi subur, udara segar dan budaya menarik.Di sini ada beberapa mukim utama. Antaranya Kundasang - di sini adalah pintu masuk ke Kinabalu Park. Kawasan yang paling tinggi di dalam daerah Ranau. Pekan Ranau-sederhana tapi serba ada. Mukim Lohan-destinasi utama travelog ini kerana di sinilah tempat berlangsungnya karnival ko-kurikulum sekolah-sekolah agama Sabah (SUIS) bagi sesi 2008.

Travelog ini amat berharga buat kami kerana beberapa sebab. Pertama: inilah perjalanan pertama kami ke sini selepas 4 tahun yang lalu(kali terakhir ke Ranau ketika itu anak-anak semua kecil-kecil) Kedua: Ini pertandingan pertama buat Anwarul Islam dan antara penyebab Anwarul Islam ditubuhkan. Ketiga: Kerana poket umi dan baba tengah kempis, jadi tak ada bajet menarik untuk perjalanan ini...

HARI PERTAMA
Udin, Nazmi, abang Khayr, Afiq dan Fahmi : tak sabar lagi!

Hari pertama : 11 April 2008, Jumaat. Hari ini baba dan umi mengambil cuti rehat khas, hanya semata-mata kerana Anwarul Islam. Seawal jam 4 pagi, kami sudah bangun. Abang Khayr, Umayr dan Dhuha mudah pula bangun pagi ni tanpa perlu bising-bising. Terus capai tuala dan mandi. Kalau begini hari-hari kan bagus!

Jam 8.00 pagi, kami dah berkumpul di SUIS Pekan Kudat di atas bukit. Kelihatan semua peserta sudah ada. Geng Anwarul Islam ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Cikgu Fazli, Cikgu Zamanhuri, Cikgu Aziz dan beberapa lagi bapa yang anak mereka menyertai acara lain seperti tilawah, hafazan, bercerita dan qiraah wal kitabah. Semua tampak ceria dan geng Anwarul Islam kelihatan segak dengan songkok beriben biru, yang disiapkan oleh mama Nabil semalam. Masing-masing tak sabar untuk memulakan perjalanan.

Jam 9.00 pagi, 3 buah kenderaan mewakili SUIS Pekan Kudat mula bergerak. Sebuah van, Unser acik Anuar dan SAA203E baba... Moga perjalanan ini selamat sampai ke destinasi...

Melimpasi Kampung Tinangol, Kudat

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.