KAMPUS IMPIAN
Pasca keputusan bererti hari-hari mengisi apa jua borang yang tercapai dek tangan. Tiba-tiba sahaja aku dihambat inferiority complex penangan subjek Matematik yang kecundang. Dalam kekalutan itu aku bulat membariskan UIAM di dalam borang UPU. Tak segan-segan juga aku memohon program TESL luar negara!
"Razzi, aku nak gi Jordan atau Mesirlah..." Chah memberitahuku suatu hari. Sambil-sambil menunggu Cikgu Tengku guru Pengajian Am kami berlonggok dulu di meja ARMAN. "Buat apalah nak pergi jauh-jauh Chah, UIA kan ada, kalau awak nak environment luar negara, kat UIA pun ramai student foreigners kan?" Yakin benar aku mempromosi kampus impianku sedari dulu lagi...UIAM! "Eiii Razzi, Kak Ja saya yang belajar kat Jordan cerita best la belajar kat sana...ada 4 musim! Salji, musim bunga, musim gugur... seronok tu...""Betul tu Razzi abe Din aku yang di Syria pun cerita seronok belajar di luar negara ni..." "Hmmm... entahlah Chah, tak ingin dah aku belajar bahasa Arab, cukup lah di Maahad ni, aku nak ambil Human Science, Psikologi, aku rasa course ni menarik..."
"Syyy! Cikgu datang." Najah berbisik. Semua kembali ke kerusi dan pura-pura bersedia menanti cikgu tiba.
Suatu pagi di asrama. Aku melihat Najah, Mc Ann, Mazlifah mundar-mandir di depan asrama B. " Eh! Ada apa ni? " " Kami tunggu Rozita nak pergi pejabat pos."''Nak buat apa?""Ni ha! nak hantar borang biasiswa KPM ke Jordan, course Bahasa Arab, Razzi nak? ada lagi satu salinan ni..." Najah menghulurkan borang kepadaku. "Emm! Bolehlah isi, biasiswa kan?" "Aik! Razzi hari tu beria-ia benar tak nak Bahasa Arab."Chah mengiat aku." Alaaa isi saja Chah, lagi pun belum tentu dapat kan?" " Razzi, cepat sikit isi tau, tarikh tutup minggu depan..."" Insya Allah".
Malam.Aku bermimpi menyorong bagasi menaiki pesawat membelah awan...
Isi apa jua borang. Asalkan aku boleh sambung belajar dan keluar dari MMP ini. NO STU! NO STPM! Jika tidak aku mungkin akan berakhir sebagai minah kilang. Kesempatan pulang ke rumah kugunakan untuk mengisi borang KPM. Leceh juga, mahu karangan bahasa arab lah, mahu pengesahan dan cop lagi... teringat minggu lepas aku dan kawan-kawan memanjat tangga pejabat Jurutera Daerah Kota Bharu semata-mata untuk cop pengesahan!
" Nak pergi Jordan macam Amin ke?" Mi bertanya. Sambil-sambil tangan mengacau air teh di dalam kendi. " Isi saja mi... tak tahu dapat ke tidak..." " Jauh tu..." Ya memang jauh, dan aku pun tak sanggup sebenarnya untuk pergi. " Insya Allah UIA tu dapat kot, kak Pah minta course paling mudah- Human Science..."
Hari-hari berikutnya di maahad aku harungi dengan separuh hati sudah terpaut di kampus UIAM. Belajar pun ala kadar. Ustazah Mariam geleng kepala bila melihat keputusan peperiksaan semester pertama bagi subjek STU membariskan markah kebanyakannya di bawah 20! Faraidh, fiqh, tafsir,hadis,balaghah, nusus... semuanya kulalui tanpa secuit berbekas di hati. Aku benar-benar nekad untuk keluar dari maahad.
HALUAN TANPA PILIHAN
Kelangsungan pemilihan pun bermula. Aku antara yang terpilih untuk menghadiri ujian bertulis untuk melayakkan diri ke luar negara. 300 soalan personaliti dan psikologi dalam masa satu jam! Kulihat ramai calon yang hadir. Mereka yang sudah berada di dalam kampus Nilam Puri pun ada yang menghadiri ujian. Begitu ramai sekali yang berminat dengan program biasiswa KPM ini rupanya. Ada antara kelibat mereka itu rakan sedarjah semasa di Hamzah... hemmm???
Beberapa minggu berselang bersulamkan kesibukan di sekolah aku menghadiri dua temuduga. Satu temuduga UIA. Satu lagi temuduga KPM. Rasa-rasanya kedua-dua temuduga ini tidak memberikan aku keyakinan untuk melayakkan diri. Untuk ke UIA aku perlu bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan penemuduga. Untuk KPM pun aku sudah tersalah jawab bila ditanya siapakah Raiisul Wizaaraat? Aku jawab nama menteri pertanian!
Seminggu sebelum cuti semester aku benar-benar sibuk menggalas tugas sebagai pengarah program PERDANA CEMERLANG yang bakal berlangsung sepanjang cuti semester. Pelik juga rasanya ramai lagi para Dhabitah yang berkelayakan dan berwibawa... " Jangan bimbang Razzi, Kak Taz yakin Razzi boleh bawa tugas ini." Kak Taz tersenyum sambil menepuk-nepuk bahuku... Tuhan!Bantulah aku...
Perdana Cemerlang - Persatuan Raidah dan Naibah Cemerlang. Program khusus untuk mereka. Seminggu itu kukerah semua pengalaman sepanjang 3 siri program PKPIM yang pernah aku ikuti dan KEMUDA di Selangor. Seminggu itu juga aku menjadi manusia paling tidak bertuah kerana ditentukan haluan tanpa pilihan. Malangkah aku?
Seminggu itu antara kunjungan wajib aku jika ada kesempatan ialah kaunter pejabat sekolah. Hari-hari aku pergi, aku tanya " Ada tawaran tak untuk saya...?" Bersusun sampul berwarna coklat di atas kaunter. Ada dari UIA ada dari UM... Seorang demi seorang sahabat-sahabat dan kawan-kawan mendapat tawaran... tapi tiada satu pun terselit nama diri ini. Risau dan bimbang menggigit kesabaran. Kesabaranku tak mampu membendung keinginan untuk tahu ke mana arah haluanku.Mustahil aku tidak mendapat tawaran dari UIA. Mustahil!
Akhirnya penantian itu berakhir juga! ANDA DITAWARKAN PROGRAM BIASISWA PERSEKUTUAN! Sampul kecil digenggaman bagai bom jangka yang meletus! Pandangan berpinar... mana mungkin... ke Jordan kah destinasiku?
Nekad aku menelefon UIA. Sah! Namaku tiada dalam senarai panggilan pertama. Aku menelefon ke KPM , Ustaz yang menguruskan hal ehwal pengambilan pelajar hanya memberi kata dua: terima atau awak tiada peluang ke universiti! Gelapnya dunia... Perdana Cemerlang masih berbaki. Aku tidak mampu untuk pulang. Masa untuk membuat keputusan hanya dua hari! Dua hari untuk keputusan sebesar ini.
Ke mana arahku? Dua hari untuk membuat keputusan, membikin pasport dan menguruskan perihal berkaitan kursus persediaan. Kecelaruan membungkus diri. Kubawa diri ke Pulau Gajah. ada mak di sana dan pantai Sabak yang setia. Malam di rumah mak aku mengurung diri dalam bilik. Menangis dan menangis. Tegakah aku untuk melangkah sejauh itu? Sedangkan segunung harapan dan cita-cita sudah aku sandarkan di kampus impian UIAM?!!!
SENGET.
Perdana Cemerlang berbaki sehari. Aku mengambil masa untuk menguruskan gambar untuk pasport antarabangsa. Gambarku senget! Senyum tapi meluah sejuta hampa. " Dik, duduk tegak-tegak dik..." Fotografer mengarah. Rasanya kepalaku masih lagi memberat ke kiri. Bila dilihat semula memang senget!Senyumku, tudungku, cermin mata ku... alahai! Buruknya rupa! Apakan daya itulah wajah sebenar yang memperihal emosi dan jasmaniku saat itu.
Hari terakhir Perdana Cemerlang aku pulang. Segala urusan berbaki aku tinggalkan pada Kak An, biar dia menguruskan segala. Hari-hariku di MMP sudah berakhir, 7 tahun di sini yang mendewasakan aku. 7 tahun yang memenuhi usia remajaku. Hari ini aku melangkah keluar dan tak mungkin kembali lagi. Haluanku tanpa pilihan dan akhirnya aku pasrah pada ketentuan!
Di rumah, keputusanku disambut seribu perasaan. Ada gembira kerana mahu ke luar negara. Ada duka kerana jauh jaraknya..." kak Pah nak pergi ke? Dekat dengan Iraq tu... tengah berperang sekarang..." Mi bertanya, meredakan gusarnya. " Perang dah tamat, Amin tu baik-baik saja di sana... tak apa abah sokong, Kak Pah pergi lah!" Aku angguk.Aku terima.Aku pasrah.Aku redha...
Andai ku tahu... mentafsir mimpi menaiki pesawat dahulu....
EPILOG.
Minggu pertama semester kedua. Ramai yang tercari-cari di mana Razzi? Razzi, Syakirah, Maslina, Wan Asmak dan Kak Shiela sudah pergi. Pergi untuk menghadiri kursus persediaan di IKIP, Pahang. Ogos nanti mereka akan bertolak ke Jordan.Kursus Bahasa Arab. Sementara Najah, Nabilah, Mazlifah , Awie dan Rozita ditawarkan tempat di kampus AIUM, Nilam Puri.
Mc Ann, Chah, Syikin, Chique, Mek Teh, Irwani dan puluhan yang lain lagi berjaya ke UIAM!
Buat Ahmad Syihan... buatlah keputusan yang terbaik.Tetapkan haluan dan bulatkan pilihan.Ikhlaskan niat. Semoga berjaya di dalam kembara cita-cita.
Friday, March 28, 2008
CERPEN: Andai ku tahu...( Bhg.2)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





No comments:
Post a Comment