Bayu dingin musim syita' menerpa ke muka sebaik sahaja aku membuka pintu. Pagi masih terlalu awal. Selesai saja bersarapan ala kadar dengan roti ish dan jubneh aku keluar dari mujamma' abu Kamal. Terasa malas juga. Namun kerana janji sudah termeteri dengan Dr Hasan Khamis di kuliyyah adab, aku gagahkan diri. Pagi ini sepatutnya aku bertemu beliau untuk membincangkan perkembangan masyru' yang sedang aku usahakan sekarang.
Selesa di dalam suit 'beruang' ( sebagaimana yang selalu dipersendakan oleh Kak Sheila dan Line apabila aku memakai baju sejuk yang diperbuat dari benang panas dan berserta topi ala hip hop di belakang...) aku melangkah gagah ke seberang jalan raya untuk menunggu coaster. Inilah kenderaan rasmi ke 'sekolah'. Kecuali ketika terlewat amat barulah bergaya sedikit menaiki ujrah ataupun teksi yang adakala tambangnya mencecah JD 1! Seronok juga berdiri di tepi jalan menunggu coaster. Kebiasaannya aku tidak bersendirian. Selain dari akhawat Maliziaat, ada akhawat Amrikiah (American) dan aku paling suka berteman dengan Habeebah. Seorang ibu dan isteri di pertengahan 40 an yang gigih menuntut ilmu dan mencari keberkatan hidup di bumi Syam ini. Selain dari makcik-makcik badwi ada juga Doktor@Profesor yang akan turut sama menunggu coaster! Menarik bukan?
Seusai urusan di kulliyyah adab bersama Dr Hassan Khamis aku merehatkan diri di ruang solat wanita di Masjid Bilal bin Rabah. Masjid putih,kecil dan comel yang terletak di tengah-tengah lanskap jamiah. Akhawat Arab di ruang solat agak ramai juga. Sebentar lagi zohor menjengah. Secalit bimbang mengusik bila terkenangkan pertemuan empat mata dengan musyrifku tadi.
" Ya Ukhtie, saya tak puas hati dengan kebanyakan rujukan kamu ini?"
" Mengapa pula Doktor? Kebanyakan rujukan saya ini dari bahagian maraaji'... agak lama juga saya bekerja dengan buku-buku masodir tersebut, baru boleh dapat sepertimana hari ini..."
" Saya bukan mempertikaikan kesungguhan awak... tetapi awak harus sedar tidak semua kitab masodir kita boleh jadikan rujukan!"
" Saya tidak puas hati separuh dari rujukan awak ini adalah kitab-kitab syiah!"
"Jadi Doktor?"
" Saya nak kamu keluarkan semua masodir yang bersumberkan syiah dan awak gantikan dengan tulisan-tulisan ulama' sunni!"Tegas sekali tanpa terselit secuit kompromi!
" Tetapi Doktor ... saya mengejar masa.... saya mahu habiskan pengajian saya fasal ini juga..."
Hati sudah dipagut gundah... jika tidak ditahan, pilu yang membuak ini akan terburai bila-bila saja...
Dr Hassan merenung tepat ke wajahku... "yaa Ukhtie... kamu tidak akan habiskan fasal ini... sekurang-kurangnya satu fasal lagi! Tajuk kamu ini bagus dan saya mahu kamu hasilkan sebuah masyru' yang bagus juga...."
Birai mata sudah terasa panas. Terasa pudar dan kelam bayangan di hadapan.Aku tidak sedar bila aku melangkah keluar dari ruangan bilik Dr Hassan yang hangat itu. Sedar-sedar angin dingin kembali menyapu wajah. Lumpuh segala pergerakan sendi bila terkenang bual bicara di bilik itu tadi. Tercalar segala hasrat yang kuhimpun untuk segera kembali ke pangkuan ibunda.Namun hati ini lebih luruh dan gugur bila tiba-tiba aku terpandang seraut wajah sudah menanti di depan pintu keluar dari kuliyyah adab!
Semenjak kepulangan Hamidah aku berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri dari terserempak. Aku ingat pesan Kak Yam, aku jaga amanat Ustaz Sofi- jaga diri, batasi perilaku...kami tidak bertemu, melainkan lewat liqa' yang diatur oleh Ustaz Sofi dan Kak Yam... kami tidak saling berbalas email apatah lagi bersembang di alam siber! Ustaz sofi awal-awal lagi sudah berpesan... "Ingat! Jangan berchit chat ye!"
Tetapi kali ini...
" Assalamualaikum..."
"Waalaikummussalam....... "terasa suara ini tersumbat di kerongkong...
"Jumpa Dr Hassan? Macamana masyru'? Dia kata apa?"
Aku menganguk. Mengiakan sahaja. Hati bergumam, tidak senang bertemu begini... apa kata mata-mata yang melihat nanti....Banyaknya soalan yang perlu di jawab...
"Dr Hasan suruh tunggu satu fasal lagi..." Hatiku lirih saat menuturkan begitu...mataku tunduk menatap lantai...
"Hemm.... ana punya pun tak siap lagi.... banyak lagi... tak sempat kot nak taqdim munaqasyah waktu terdekat ini...."
"Kenapa pula tak sempat? Bukan ke nak balik fasal ini? Mami tak sihat kan?" Aku benar-benar tidak puas hati... mengapa segala perancangan berubah begini tiba-tiba sahaja....
Sekilas aku terpandang senyumnya berbingkai di bibir.
" Ana baru dapat e-mail dari Intan, dia kirim salam untuk enti, lagi satu... Hamidah tak ada ni bawalah banyak bersabar, jangan bersedih sangat! Ana nak jumpa musyrif ni, Assalamualaikum!" Belum sempat aku mengangkat muka, laju langkahnya membawa diri berlalu ke bilik musyrif. Semudah itu?
Ukhtie.... lau samahtie...satu sentuhan lembut menepuk bahuku. Bila aku mendongak kulihat seorang akhawat Arab berdiri di sebelah. Semua orang sudah bangun berdiri untuk membentuk saf jemaah. Aku tersipu sendiri. Lama agaknya aku tenggelam di lautan fikir sehingga tidak terdengar langsung suara bilal mengalunkan azan Zohor!





1 comment:
salam... lum abis lagi semanis karaz tuh...tu baru pertengahan...penamatnya kan kompang dipalu !!! ceritlah lagi...
Post a Comment