Friday, November 21, 2008

dan Awan pun menangis...

November datang. Hari-harinya akhir-akhir ini melabuhkan awan murung memanjang dan tangis hiba yang membekaskan gerun! Syukur, daerah di hujung Borneo ini antara tiga daerah bertuah yang sudah diperisaikan dengan alat pengesan tsunami! Terlalu berisiko rupanya daerah ini.... tidak hairan, pernah beberapa kali amaran berbunyi pasca-tsunami 2006, sehinggakan ada yang berkereta sehingga ke daerah Ranau, lari dari tsunami!

Laut Sulu bergelora. Laut China Selatan juga membadai. Sekencang hati ini mungkin, yang berkeluh kesah, diam-diam membendung gelora... membekam gempa di pasak hati!

Sekuat itu akal waras memohon, memujuk, merayu lewat penghujung solat moga dikurniakan ketetapan yang terbaik. Kerana Dia Yang Maha Tahu, kerana Dia Yang Maha Berkuasa, kerana Dia Yang Maha Menentukan segala aturan dan qada' & qadar kehidupan hamba-hambaNYA...

7/11/2008
Redha. Itulah ketetapan hati yang Tuhan beri tatkala tertera di skrin keputusan permohonan pertukaran kami- PERMOHONAN ANDA TIDAK DILULUSKAN! Minit dan jam selepas itu dihujani sms bertalu dan sorongan semangat sahabat-sahabat maya. Terhibur lara di jiwa, memori indah pula bagai dipugar lewat pesanan-pesanan ringkas yang singgah....

' Rasanya mahu di BOM saja JAPIM tu Di...'
'Awak ni macam Suhana... asal bergaduh dengan musyrifah, mesti nak dibakar bilik musyrifah!'
' Ka ka ka... ( tergelak sendiri...)
'Kami kan spesis yang sama.... ka ka ka... (tergelak lagi!)
Lalu sms pun melalut lalut , tentang anak, keluarga, pasangan... segalanya...

Sehari selepas...
Sekolah. Segala urusan berkait markah pelajar sudah selesai. Kuharap ini adalah hari-hari akhir yang mendorong diri supaya tabah dan gagah, supaya tidak kalah dan rebah! Aku setia mendamping Nally dan menjadi pendengar setiap keluhan dan luahan dukanya. Kesian... kami senasib. Bezanya Nally guru baru, pengantin baru... azab orang baru berkasih, berjauhan lagi terpisah... aku mengerti. Tsunami di hatinya lebih ganas, lebih rakus!

Aku tahu diri ini depresi! Aku bekerja untuk merawat diri. Meja kerjaku kukemaskan dengan susun atur azam dan harapan baru! Segala isi kumasukkan ke dalam kotak! Aku tahu ramai yang hairan dan suspen dengan keadaan meja kerjaku- Boleh pindah ke???

' Ustazah! Boleh pindah ye...' ( Kak Serene menghampiri mejaku yang khali...)
' Tak ada lah kak... azam dan semangat baru ni untuk sesi depan!
' Jadi? Siapa yang dapat pindah? '
' Seorang saja kak... Cikgu Hajah ...'
' Oh! Ya ka... tak apa ma... cuba lagi ma...'

Hari kedua...
Kebiasaannya Annual Dinner, tetapi kali ini ditukarkan ke acara Makan Tengahari. Selama 90 bulan di sini inilah kali pertama aku menghadiri jamuan akhir tahun kelab staf. Berlokasikan Marina Resort. Kebiasaannya aku tidak hadir kerana kekangan keadaan, tempat dan masa. Namun kali ini aku hadir. Aku bawa Dhuha bersama. Aku ralit melayan Dhuha yang seronok berulang alik ke meja buffet dan teruja menunggu giliran cabutan bertuah. Saat ucapan - ucapan perpisahan dari mereka yang bakal berpindah singgah di telinga, hati ini bagai beku , tiada rasa yang berbekas! Mungkin: andai catatan di skrin kelmarin bertukar, aku antara yang berucap syahdu sayu di pentas itu...

Minggu terakhir persekolahan.
Bagi yang gagal bertukar seperti aku dan Nally, kami mengusahakan RAYUAN pula. Inilah saat untuk membuktikan kesungguhan dan ketulusan kehendak kita kepada pegawai yang bertugas dan bertanggungjawab! Kebiasaannya ramai juga yang diberikan peluang KE-DUA! Aku masih gagah.

Seminggu ini diisi dengan tugasan sebagai guru bertugas SPM, sesi makan-makan dan kelas grooming! Ha...ha...ha... Cikgu Els menunjukkan kepakarannya mengajarkan kami teknik menyolek wajah dengan betul! Hari itu ramai guru-guru wanita yang di make-over oleh Els. Aku juga yang gatal mulut suatu ketika dahulu mencadangkan pada Els supaya buat sesi grooming ni... Terasa pelik pula.... sehinggakan aku terpaksa membersihkan balik mata, pipi, bibir dan muka yang telah di sapu dengan warna-warna make-up Cikgu Els. Betul ke cara Els ini? Ada yang dah bertukar macam Kak Era dan Dato' Siti ni.... wa ka ka... lucu...lucu...lucu... cukuplah bedak Johnson si Awfa yang aku sapu di muka selama ini.

'Ingat ye ibu-ibu... berdosa bercantik-cantik selain untuk suami ni...'
'Orang bujang lah kak yang kena make up cantik-cantik.... biar ada yang berkenan!'
'Aduh! Hem... tak apa belajar... fardhu kifayah juga ni....'
( Tak boleh nak 'direct' sangat... ramai yang tak faham lagi tentang tabarruj... perlahan-lahan...)

Jumaat. Hari terakhir.
Bersemangat aku ke sekolah hari ini. Hari terakhir. Hari ini aku sempat bersarapan pagi nasi lemak bersama Nally, Bushra dan Kak Zah. Kekenyangan.

'Kak, nanti ada jamuan lagi...'
' Jamuan apa?'
' Kak Ina dan Kak Zila belanja...'
(iya lah kan.... keduanya bakal berpindah, Ina dapat bertukar ke kampung halaman, Zila pula dapat biasiswa HLP buat MA)

SMS.
' Baba di Langkon, sekejap lagi sampai. Kita ke sekolah abang Khayr ambil buku rekod.'
' Mahu nasi lemak? Umi tapau-kan'
' Mahu bah! Lapar ni...'

Jam 10 pagi. Baba tiba dan aku keluar sekejap dari sekolah. Selesai urusan penyerahan buku rekod abang Khayr, aku ke sekolah kembali dan Baba terus ke sekolahnya. Teringat di kereta tadi:
' Ramai guru mengamuk Umi'
' Kenapa ?'
' Ramai tak dapat tiket macam kita... peruntukan habis!'
' Jadi?'
' Entah lah umi... kita tunggu saja lah....'

( tak terbayang bagaimana hendak dihabiskan seluruh cuti hujung tahun di sini kalau benar peruntukan sudah habis dan kami tiada tiket untuk pulang.... Ya Allah... permudahkan lah urusan kami ya Allah....)

' Baba singgah SPPIM...'
' Apa alasan kita tak dapat tukar?'
' Ustaz tu cakap kali ni hanya 100 bulan ke atas sahaja yang layak'
' Aik! Ustaz yang dapat pindah tu baru lagi di sini Ba... Ustaz yang dah berbelas-belas tahun tu tak dapat pun...'
' Entah lah umi.... dah rezeqi dia kot....'

( ya.... memang akal logik tidak dapat menerima ketidaktelusan manusia.... tetapi matahati ini lupa untuk melihat semua ini Dia Yang Maha Kuasa yang menentukan segala aturan dan ketentuan, astaghfirullah...astaghfirullah... ampuni hamba-Mu ya Allah.... permudahkanlah segala urusan kami Ya Allah.... jika berpindah adalah yang terbaik buat kami, maka permudahkanlah Ya Allah.... hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat Ya Allah....)

Sebaik kaki menjejak bilik guru, aroma Laksam semerbak menyerbu rongga hidung! Sedapnya laksam... tapi perut masih lagi terasa kenyang dek penangan nasi lemak pagi tadi. Guru-guru berkumpul di ruang depan bilik guru sambil masing-masing memegang mangkuk laksam.Aku menyenduk semangkuk laksam dan membawa ke mejaku di bahagian belakang bilik guru. Nally menghampiriku dengan mata yang berkaca dan berwajah sejuta sendu...

' Kak, tadi masa makan ada taaruf dengan guru baru...'
' Semua orang diperkenalkan ye?'
' Kak, masa turn saya- Dia perkenalkan saya dan cakap sayalah guru yang minta pindah tapi tak dapat... lepas tu dia cakap P***N M**A!'
' Eh! Biar betul Nally! Dia bergurau kot....'
'Entah lah kak.... saya tak faham kenapa dia boleh buat saya macam tu....'
' Sabarlah dik, anggap saja dia bergurau agaknya tu....'

11:30 tengahari, waktu pulang.
Guru-guru ber wida' sesama sendiri. Aku menghampiri Ina.
' Ina, akak nak wida' Ina ni...'
Aku memeluknya. Erat. Serentak itu aku terasa bagaikan tidak mampu meleraikan pelukan itu. Pelukan semakin kejap. Mulutku terkunci dan sebak untuk berbicara. Perasaan ini hadir setelah sekian lama. Setelah sedekad aku mengunci perasaan ini.Perasaan ini sama ketika aku memeluk Safa' selepas solat eidul Adha yang terakhir.Perasaan yang sama ketika aku memeluk Hamidah, Kak Shiela, Line dan sahabat-sahabat lain saat keberangkatan pulang mereka ke tanah tumpah darah ini.Perasaan ini yang pernah kurasai sedekad lalu. Perasaan yang membuatkan aku tidak berdaya dan kalah pada asakan emosi. Betapa Allah menganugerahkan rasa cinta dan kemanisan ukhuwwah terhadap insan yang satu ini. Kami jarang bersua, jarang juga berbicara, rupanya hati saling bertaut dan aku terasa begitu tulus mengasihinya.

Suatu petang 2 bulan yang lalu....
Kami pulang bersama.Berjalan beriringan.Aku , Nally dan Ina. Ina bersuara....
' Hari ini 3 orang yang memohon bertukar berjalan bersama....'
' Ina rasa akak yang paling lama... tentu akak dapat...'
' Insya Allah... tapi tak semestinya... GPI macam kami susah nak lepas...'
' Siapa tahu, tengok-tengok Ina dan Nally yang dapat....'

Ternyata bukan faktor lama servis yang melayakkan diri untuk berpindah.Bukan sahaja faktor usaha.Aku pasti doa jua senjata untuk melayakkan diri.Bertuahnya Ina.Sudah Allah takdirkan rezeqinya untuk pulang berkhidmat di kampung halaman.Rasa sayu dan sebak masih memaku lidah untuk berbicara. Kenapa agaknya aku harus sesyahdu ini untuk mengucapkan wida' padanya. Nally dan Yap pun kaget melihat aku yang tersedu-sedu.

'Kak, Ina berhijrah kerana Allah telah menetapkan khidmat Ina di sini sudah tak diperlukan lagi.... tapi khidmat akak masih diperlukan... Ina tahu akak juga kuat untuk terus berada di sini...'
'Ina, akak sayang sangat pada Ina.... doakan akak ye... akak harap Ina di tempat baru Allah percepatkan jodoh, Ina dapat membina keluarga... satu lagi... Ina kirim salam akak dan Ustaz untuk Prof.Dr Kamil. Kami peminat setia beliau....'
' Akak dah baca buku kedua abang Ina? Ini untuk akak....'
TRAVELOG DAKWAH : Meniti Hari Esok bertukar tangan.(TDHME)
' Terima kasih Ina...'
Tengahari itu kami berpisah.Hari ini hari terakhir persekolahan. Aku pulang bersama 1001 rasa yang bercampur baur.
Di rumah. Kuselak helaian demi helaian TDHME. Betapa Allah itu Maha Kaya, Maha Besar, Maha Mengetahui. Saranan dan perkongsian pengalaman di dalam TDHME bagaikan larian air yang membasuh hati... sejenak diri terasa kerdil... terlalu banyak kealpaan, lalai dan berdosa... aku lupa... aku meminta bunga dan rama-rama. Tetapi aku berkeluh kesah ketika Allah berikan pohon berduri dan ulat beluncas yang hodoh.... aku lupa untuk melihat dari pohon berduri itu akhirnya akan mekar bunga-bungaan yang indah dan si beluncas itu akhirnya akan menjadi sang rerama yang cantik.Allah Know Best.

Langit November mendung dan sarat. Akhirnya awan yang gagah ini melepaskan tangis pilu sekali lagi.Lebat selebatnya....

7 comments:

~Ibu Anggun~ said...
This comment has been removed by the author.
~Ibu Anggun~ said...

sabar ye kak syifa' :)
mungkin kudat ni sayang sgt ngn akak n ustaz..

betul ke PJ eja nama tu? ;)

KHAYR said...

pj-betui dah tu...
kami bersedia je untuk terus di sini...hingga pencen pun!
cuma tatkala menatap kedut wajah sang ibu di sana, hati kami berbaur seribu rasa...
Tuhan tahu yg tbaik buat kami, kan...

sikinisma said...

sedih..terharu baca entri ini...saya lum mampu nak tulis nak imbau kenangan dulu masa time tak dapat pindah...dan time dah pindah tapi arwah pergi...
Semoga kak sekelurga tabah...n selamat berjuang untuk pindah !!!

KHAYR said...

ummueihab-coretlah kenangan itu, agar ianya tak hilang dihakis badai masa...
berkongsi rasa kdg2 boleh memberi kekuatan pada diri dan orang lain...
kami pun doakan ummueihab terus tabah dan kuat!

k a s e h K A M I said...

Perkh!.... shahdu....3x Sabarlah ye! er....... kak, tumpang tanya..... saya memang x tau.... confius..? apa ek beza tabarruj dgn tadarruj. Maaf byk2. Nak tau je. thank u.

KHAYR said...

KasehKAMI-...mmg syahdu, sesyahdu november yg sering menangis nih... huhuhuk...:)

Tabarruj-berhias secara overrrrr!
Tadarruj-...berdikit2, stepbystep...
...mmm...tak konpius, mmg betoi la tu! hehehe...