Thursday, July 17, 2008

Bukan Rezeqi Kita...

Ada satu cerita umi nak beritahu abang Khayr, Umayr, Dhuha dan adik Awfa...

Cerita ini terjadi pada hari Sabtu baru-baru ini. Waktu itu Umi sibuk bangat di sekolah sebagai penyelaras hadiah untuk Karnival Pendidikan Pencegahan Anti Dadah peringkat Gabungan Kota Marudu. Dari pagi hingga tengahari umi di sekolah. Baba pun terlibat sebagai hakim nasyid, tapi baba balik awal.


Lebih kurang jam 1.30 tgh. umi , cikgu Zulie dan cikgu Ami selesai menyusun hadiah dan cenderahati di atas pentas. Majlis perasmian penutupan akan bermula jam 2.30 ptg. Jadi dalam keadaan yang amat penat dan lapar umi pergi ke dewan makan. Akhirnya umi membawa pulang 2 tapau dan dua botol air. Pakcik dewan makan suruh umi ambil banyak lagi, kerana tapau yang disediakan ada lebih separuh lagi tak diambil.


Di pertengahan jalan nak masuk ke taman kita, umi terserempak dengan 2 orang budak lelaki sedang mencari dan memungut tin-tin air minuman. Teringat di rumah kita ada 3 plastik hitam besar yang dipenuhi botol air mineral. Lalu umi pun ajak mereka ke rumah kita untuk mengambil botol-botol tersebut.

Kesiannya... seorang daripada budak berdua ni tak berselipar langsung, nampak macam haus sangat umi berikan mereka kedua-dua botol air mineral yang umi tapau dari dewan makan tadi.

Sampai di rumah umi bergegas ke dapur... rupa-rupanya baba tengah masak...
Baba keluar menemuramah budak-budak tersebut... spontan umi berkata... nah! Pergi basuh tangan, lepas tu ambil nasi ni pergi makan di pondok sana (pondok dalam hutan yang abang Khayr dan kawan-kawan buat dulu...)


Akhirnya dua bungkus tapau tadi menjadi rezeqi mereka berdua. Terbayang mereka makan dengan berselera kerana lauknya pun enak juga...

Masuk ke dalam rumah... sudah terhidang di atas meja semangkuk gulai sardin dan celur pucuk paku! Kuang...kuang...kuang.... TQ baba! Jam 2.30 umi kembali bergegas sekolah, majlis perasmian penutupan sudah pun bermula.


MORAL CERITA...
Rupanya nasi tapau yang enak itu bukan rezqi kita... Allah takdirkan ianya adalah rezqi orang lain, hanya umi ini sebagai wasilah untuk menyampaikan rezeqi @ nikmat tersebut... jadi anak-anak umi ... selalulah berkongsi nikmat yang kita ada, sedikit mahupun banyak kerana bukan semuanya adalah hakmilik kita... wallahua'lam bissawab.

No comments: